Dengan perkembangan dunia internet, kandungan yang mula
dihasilkan oleh pengguna seluruh dunia juga meningkat dari hari ke hari. Dan
dalam usaha untuk mengawal hak cipta pemilik terhadap kandungan, salah satu
organisasi yang menyediakan beberapa lesen hak cipta untuk pemilik asal adalah
Creative Commons.
Melalui pilihan pelesenan yang disediakan oleh Creative
Commons, ia membolehkan pemilik sesuatu kandungan berkongsi hasil kerja mereka,
seperti gambar, video, grafik, teks, dan sebagainya untuk digunakan oleh
sesiapa sahaja, dan pada masa yang sama memberikan kredit hak cipta kepada
pemilik asal.
''Creative Commons
membolehkan pengguna membangunkan dan memaksimakan kreativiti digital mereka,
dan berkongsi dengan lain dan mengalakkan inovasi antara satu sama lain.''
Creative Commons menawarkan kepada orang ramai satu set lesen
hak cipta secara percuma dan lesen-lesen ini akan membantu pencipta atau
pemegang lesen memberitahu dunia apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan
berkaitan kerja mereka yang telah dihakciptakan. Ia terutamanya bagi
kerja-kerja yang dipamerkan di Internet dan ia boleh dalam sebarang bentuk
seperti rakaman video, rakaman audiovisual, rakaman muzik, imej, video, teks
atau rekaan interaktif.
Creative Commons yang diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun
2006 ini turut sama menerima sokongan ramai pihak, termasuk MDeC daripada
Malaysia sendiri. Sekiranya perasan, kebanyakkan laman web berbentuk
perkongsian menyediakan sokongan perkongsian menggunakan lesen Creative
Commons, termasuk di YouTube, Flickr, SoundCloud, Vimeo dan banyak lagi.
Bagaimana Creative
Commons membantu anda?
Dengan menggunakan pelesenan Creative Commons pada hasil
karya anda, ia memberikan fleksibiliti untuk pengguna lain dalam berkongsi
karya anda bersama yang lain, disamping pada masa yang sama mengekalkan apa
yang ditetapkan oleh anda. Ia sekaligus membantu dalam beberapa bidang,
terutamanya dalam bidan pendidikan, disamping membolehkan hasil karya anda
dicapai oleh lebih ramai pengguna seluruh dunia.
Disamping itu, apabila anda ingin membangunkan sesuatu
kandungan, sebagai contoh sekiranya ingin hadir dengan sebuah video, anda boleh
menggunakan lagu latar atau grafik yang dilesenkan oleh pengguna lain, dan
melaluinya kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Sebagai contoh, video anda akan
mendapat lagu latar yang menarik, manakala pemilik lagu asal mendapat lebih
capaian dengan lagu hasil mereka didengari lebih ramai orang seluruh dunia.
Siapakah Yang
Menggunakan Creative Commons?
Ramai yang menggunakan pelesenan Creative Commons
untuk hasil karya mereka. Selain individu persendirian, dan syarikat kecil,
beberapa nama besar turut melesenkan kandungan mereka dibawah lesen ini,
termasuk antaranya adalah Google, Wikipedia, Al-Jazeera dan beberapa yang lain.
Di Malaysia, projek 15 Malaysia turut sama mengguna-pakai pelesenan
Creative Commons untuk projek mereka.
Lesenkan Kandungan Anda Hari Ini
Bagi anda yang aktif berkongsi gambar, video dan pelbagai
karya di arena internet, mungkin anda boleh menyemak laman Creative Commons
hari ini, dan mula memilih lesen yang sesuai untuknya. Anda juga boleh
melakukan perkara sama ketika berkongsi kandungan di YouTube, Flickr, Vimeo dan
beberapa yang lain.
No comments:
Post a Comment